Friday, January 14, 2011

Jalan Pulang

Susur gelap di sebalik lebuh peganganmu
Merabunkan iman
Sepanjang jalan tersasar dari jalanan lurus
Di sisimu ada pedoman dan nafsu
didepanmu cahaya
dibelakangmu lohong gelita
dikananmu syurga
dikirimu neraka

Kau titi titian usang
Berpijak di helaian rambut berbelah tujuh
Mahu kemana kau?
Lari kemana kau?

Ayuh
sebelum langkahmu dirantai
ayuh
sebelum langkah tersasar
ayuh
genggam tanganku

Ayuh
kita cari jalan pulang

Thursday, January 13, 2011

Tunggu Sekejap

Dalam bayang purnama
Diselangi deraian hujan
Kau berpaling lalu melangkah

Di hujung pandangan
Kujamah tanganmu dengan impian
Kudakap jasadmu dengan harapan

Tunggu sekejap
Kerana aku masih dahaga
Sebuah tatapan mesra
Walau tanpa bicara

Tunggu sekejap
Kerana bayangmu tak pernah hilang
Walaupun siang menjelma
dan hujan semakin reda.

Mencari Sepotong Cinta


Mencari sepotong cinta
Dalam segenap warna
Kita temu seribu satu ragam
Kita jumpa jutaan perasaan
Satu-satu membentuk nurani
Hingga kita jadi
Kita pada hari ini

Mencari sepotong cinta
Kita temu secebis makna
Cinta bila kita dicintai
Cinta juga bila mencintai
Cebis-cebis itu melekap
Mendefinisi hati

Dan waktu mencari sepotong cinta
kita temukan cahaya
dan juga malam-malam tangis
Kerana kita masih belajar
masih terus cuba memahami
di mana letaknya sepotong cinta
di dalam hati.

Mencari sepotong cinta
mengajar aku selut dan tanah
mengajar aku keringat dan darah
mengajar aku kebenaran yang pahit
juga kepalsuan yang indah.

Sepotong cinta sejati
adalah selautan cinta hakiki.