Sunday, April 10, 2011

yang sedikit nilainya bagi seseorang adalah berlipat ganda nilainya buat seseorang yang lain

Silam

Tertempakah perjalanan
Mimpi dan impian
yang dulu terpatri 
atas dinding hati

Sudahkan aku tunaikan kata-kata
janji-janji silam
atau perhitungan belum datang
mengutip hutang yang terpinjam
atas kenanganmu?
Atau peluput matamu
sudah kabur akan wajah
jua hati budi
Hingga nurani ini tak kau kenali lagi..


Lalunya
ku biarkan masa berjalan
kerana seiiring takdir
masa adalah ketentuan
Dan ketentuan adalah milik Tuhan.

Friday, April 1, 2011

TAHAJJUD

Hati ini bergoyang
dihayun malam-malam kehujanan
Dalam sujud yang panjang
Kutadah rahmatmu tuhan



Gementar;
kerana halusnya sentuhanMU
Rapuh;
kerana nikmatnya kasihMU
Lemah;
kerana indahnya cintaMU

Tangis;
kerana kerdilnya aku disisiMU.



Sunday, March 6, 2011

Rindu dalam Lamunan

Langit petang menguning
dengan deruan guruh
neon-neon jalanan
cerah gemerlapan

Kedinginan dan sayu
mengusik naluri
seorang pemuja
diselitupi masa.

Lalu langit bertukar perang
pemuja hilang dalam lamunan
rindunya mencucuk-cucuk
rebah dalam lamunan

Rindu kepada Tuhan.

Thursday, February 24, 2011

Hujan Malam Di Kuala Kangsar

Rintik menimpa jejari daun kelapa
dan arus deras menghanyutkan aku dalam menung
Di kiri ada umat menakung dosa
dan di kanan ada umat menadah pahala.
Hujan malam di Kuala Kangsar
sungai Perak bagai deras bercerita
di sini ada tragedi
di sini ada sejarah
di sini ada cinta
rindu dan segala-galanya.

Bulan suram dalam hujan malam di Kuala Kangsar
Pungguk menyorok tak mampu merindu lagi
dan aku bercerita pada aku sendiri
Kisah sang pungguk yang telah rebah takkan merindu lagi.
Masa lampau begitulah
Dibuang sayang dipangku tak sudi.

Wednesday, February 23, 2011

Seorang Gadis Di Pinggir Koridor

Ada seorang gadis di pinggir koridor.
Merenung pintu bilik tutor yang legap.
Dari hujung mata aku lihat bilik itu masih gelap.
Hari masih terlalu pagi.
Gadis itu barangkali seorang Cina.
Atau Sabahan mahupun Sarawakian.
Di hujung mataku.
Gadis itu memeluk sebuah fail plastik biru.
Dan sebuah buku.
Renungan matanya ke pintu itu bagaikan tembus.
Dan sinar matanya bagai ada hujan dalam hatinya.
Gadis itu merenung lagi pintu.
Sesekali menunduk ke lantai.
Mungkin, sekadar mungkin, kulihat ada titisan halus menitik dari pipinya.
Atau mungkin itu hanya perasaanku.
Gadis itu, masih merenung pintu.
Bersandar di dinding batu bersalut cat hijau muda.
Menghembus nafasnya laju.
Barangkali dia mengeluh.
Ingin aku tahu apa ceritanya.
Apa kisahnya.
Keluhannya mengail rasa ingin tahu.
Titisan itu membuak rasa musykil dan raguku.
Dia juga manusia.
             Lalu ingin tahu terbunuh sendiri.
Pasti kisahnya seperti seorang insan bernama manusia.
Seperti mana aku juga seorang manusia.
Pasti ada cerita duka dan bahagianya. 
Si gadis mengeluh lagi.
Lalu dia memandang ke arahku.
Mungkin baru menyedari kewujudanku.
Di hujung koridor ini.
Lalu Sang Gadis menguntum senyum misteri.
Sambil mengesat pinggir mata.
Menolak pintu dan hilang.
Dari hujung mata ini.

Friday, January 14, 2011

Jalan Pulang

Susur gelap di sebalik lebuh peganganmu
Merabunkan iman
Sepanjang jalan tersasar dari jalanan lurus
Di sisimu ada pedoman dan nafsu
didepanmu cahaya
dibelakangmu lohong gelita
dikananmu syurga
dikirimu neraka

Kau titi titian usang
Berpijak di helaian rambut berbelah tujuh
Mahu kemana kau?
Lari kemana kau?

Ayuh
sebelum langkahmu dirantai
ayuh
sebelum langkah tersasar
ayuh
genggam tanganku

Ayuh
kita cari jalan pulang